Contact Us

Jumlah kendalian kenderaan import 10 kali ganda tahun ini

PELABUHAN KLANG, 17 JUN 2008 - Pengendali Pelabuhan Barat, Westports (M) Sdn. Bhd. (Westports) dijangka mengendalikan pemunggahan 200,000 kenderaan import di pasarkan di pasaran tempatan pada tahun ini, meningkat 10 kali ganda berbanding tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif Westports, Tan Sri T. Gnanalingam yakin jumlah itu mampu dicapai berikutan pembukaan pejabat syarikat perkapalan milik Kumpulan Toyota di pelabuhan kontena itu sejak April lalu.

"Tahun ini Westports menyasarkan sebanyak 200,000 kenderaan yang dibawa masuk dari luar negara bakal dikendalikan di pelabuhan kontena ini."

"Tahun lalu kita hanya mengendalikan 40,000 kenderaan dengan caj pelabuhan sebanyak RM70 setiap buah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian syarikat Toyofuji Logistics Malaysia Sdn. Bhd. (TFLM) di Pelabuhan Utara di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

TFLM yang merupakan anak syarikat Toyofuji Shipping Co. Ltd. (TFS) dari Jepun merupakan syarikat pengendali kenderaan import kedua beroperasi di Pelabuhan Utara selepas Giga (M) Sdn. Bhd.

Ia mempunyai dua limbungan di Pelabuhan Utara yang mampu memuatkan sebanyak 1,660 kenderaan.

Pelabuhan Utara adalah pejabat operasi kelapan dibuka di luar Jepun.

TFS mula menjalankan aktiviti membawa masuk kelengkapan dan alat ganti kenderaan Toyota dari Jepun ke sini sejak 1974 bagi kegunaan UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. dan Assembly Services Sdn. Bhd.

Ditanya mengenai prestasi Westports pada tahun ini, Gnanalingam yakin syarikat tersebut mampu mencapai kemajuan lebih baik berbanding 2007.

Menurutnya, Westports menyasarkan sebanyak lima juta TEU (unit kontena bersamaan 20 kaki) untuk dikendalikan pada 2008.

Katanya, pada tahun lalu, Westports mengendalikan 4.3 juta TEU.

Beliau menambah, sejak Januari hingga Mei lalu, pihaknya berjaya mengendalikan dua juta TEU.

Source: Utusan Malaysia