Contact Us

Kendalian kontena Westports naik 20%

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2008 - Jumlah kendalian kontena Westports Malaysia Sdn. Bhd. bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat 20 peratus kepada 3.8 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Pengarah Eksekutif Westports Ruben Emir Gnanalingam dalam kenyataannya di sini berkata, jumlah trafik kontena terus meningkat apabila lebih banyak kargo konvensional seperti produk keluli dan bijirin, dihantar oleh kapal menggunakan kontena.

Katanya, kereta tempatan telah menyaksikan peningkatan besar dari segi muatan pindah kapal.

"Hari ini, Westports mengendalikan 150,000 buah kereta berbanding dengan 12,712 buah kereta bagi sepanjang tempoh tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, produktiviti di pelabuhan itu mencatatkan purata antara 33 dan 35 pergerakan kasar sejam bagi setiap kren manakala syarikat perkapalan mencatatkan lebih 100 pergerakan kasar sejam pada produktiviti kapal.

Mengenai pengembangannya, beliau berkata Terminal Kontena 5 sepanjang 600 meter telah disiapkan pada September dan pelabuhan itu telah menerima enam lagi kren pengangkat kembar pada tahun ini.

"Dengan mempunyai sejumlah 34 kren, kapasiti pelabuhan itu kini meningkat kepada 6.5 juta TEU," katanya.

Katanya, Westports sehingga ini belum mengalami sebarang kemerosotan di segi jumlah dagangan.

"Malah, semakan semula kontena tempatan menunjukkan eksport sedang berkembang pada kadar lebih pantas dari import," katanya.

Source: Utusan Malaysia