Contact Us

Westports catat dua rekod dunia

1 DISEMBER 2008 - Pasukan operasi Westports baru-baru ini mencatatkan dua rekod dunia baru bagi produktiviti, walaupun dalam keadaan hujan lebat dan basah.

Rekod pertama ialah kepantasan 665 pergerakan sejam dalam sejam pertama operasi, dengan menggunakan sembilan kren dan teknologi terbaru mengangkat dua kontena serentak menggunakan kren pengangkat berkembar.

Dalam satu kenyataan, Westports menyatakan rekod sebelum ini ialah 456 pergerakan yang dicatatkan pada Jun 2006.

Rekod kedua Westport ialah produktiviti kapal dengan menggerakkan 4,427 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh 10 jam.

Operasi itu dilakukan atas kapal CMA CGM baru, Orfeo, yang boleh mengangkat 9,700 TEU dan menggunakan perkhidmatan FAL4, terbaru dalam jaringan FAL yang menghubungkan Asia dan Eropah.

Tujuh belas pengendali kren dermaga adalah peneraju kejayaan itu dan mereka antara pengendali kren dermaga terbaik di dunia.

Westports berkata, syarikat itu kini adalah antara satu daripada lima pelabuhan di dunia mencapai kadar kejayaan produktiviti itu.

Sebagai pelabuhan utama Malaysia, katanya, usaha sentiasa dilakukan untuk memastikan pembangunan modal insan dilakukan selaras dengan keperluan perniagaan.

Pengarah Eksekutif Westport, Ruben Emir Gnanalingam, berkata langkah melabur dalam modal insan membantu pelabuhan itu meningkatkan prestasi dan produktiviti pekerjanya yang disifatkan sebagai rangka pengurusan bakat yang amat dititikberatkan.

Katanya, langkah itu juga membantu menambah baik prestasi serta produktiviti kakitangan melalui pengurusan berkesan dan pembangunan modal insan.

Source: Berita Harian