|
PELABUHAN KLANG, 2 Sept (Bernama)
-- Pelabuhan-pelabuhan di negara
ini mesti membangunkan tenaga
kerja dan kepakaran yang mencukupi
bagi menyokong operasi berskala
besar dan mencapai produktiviti
serta meminimumkan masa berlabuh
dan berlepas, kata Menteri Pengangkutan
Datuk Ong Tee Keat.
"Menarik
syarikat kapal ke sini bukan
sahaja melibatkan penyediaan
kemudahan dan mempunyai ciri-ciri
teknikal yang mengagumkan,"
kata beliau kepada pemberita
selepas melawat Westports di
sini semalam.
Ong berkata
Westports ditempatkan di kalangan
antara lima teratas di dunia
dari segi produktiviti.
Beliau memuji
pelabuhan itu kerana telah berjaya
mencapai secara konsisten pengendalian
kontena iaitu 35 pergerakan
kasar setiap jam.
"Ini telah
menaikkan satu lagi tahap standard
yang belum dapat diikuti oleh
pelabuhan Malaysia yang lain,"
kata beliau.
Ong berkata
perubahan dalam perdagangan
global dan pengangkutan maritim
telah mendesak pelabuhan-pelabuhan
meningkatkan kapasiti dan mengukuhkan
kedudukan mereka bagi menampung
kapal yang lebih besar.
"Westports
telah menyahut cabaran ini dengan
mengamalkan dasar yang digerakkan
oleh penawaran dalam memajukan
kemudahaan yang mengatasi permintaan
serta dilengkapi dengan peralatan
dan sistem canggih bagi mengendalikan
kapal-kapal besar serta jumlah
kotak yang banyak.
"Malah,
Westports ialah pelabuhan pertama
di Malaysia yang mempunyai kren
pengangkut berkembar,"
kata beliau.
Ong berkata
lawatan itu telah membolehkan
beliau mengetahui lebih banyak
lagi mengenai mereka yang terbabit
dalam perniagaan logistik.
Yang turut
hadir ialah pengarah eksekutif
Westports, Ruben Emir Gnanalingam
dan syarikat-syarikat pengendali
kapal utama.
Ong turut menyampaikan
pingat kepada enam pengendali
kren dermaga kerana mencapai
kadar produktiviti yang tinggi
sejak tujuh bulan lepas.
Mengenai Pelabuhan
Klang yang merupakan pelabuhan
utama negara dan menduduki tempat
ke-16 di dunia, Ong berkata
ia telah mensasarkan kendalian
kontena 12 juta unit bersamaan
20 kaki (TEUs) menjelang 2012.
Bagi mencapai
sasaran ini, beliau menggesa
Lembaga Pelabuhan Klang dan
kedua-dua pengendali pelabuhan
agar bekerjasama dengan lebih
rapat untuk melaksanakan kerja-kerja
promosi bagi menarik lebih banyak
syarikat perkapalan dan perantara
untuk singgah di Pelabuhan Klang.
"Jumlah
kontena di Pelabuhan Klang telah
berkembang dari tiga juta TEUs
pada 2000 kepada tujuh juta
TEU tahun lepas.
Untuk tujuh
bulan pertama tahun ini, ia
mengendalikan sejumlah 4.66
juta TEUS. Ia menjangka mencapai
lapan juta TEUs menjelang akhir
tahun.
"Jika
trend ini berterusan, saya pasti
Pelabuhan Klang boleh mencapai
sasaran itu," kata beliau.
Sementara itu,
Gnanalingam berkata, "kami
telah mereka dan memperkenalkan
sistem dan pemprosesan dengan
objektif untuk kekal relevan
dan menyediakan perkhidmatan
terbaik kepada para pengguna
kami," kata beliau.
|