| KUALA
LUMPUR 21 Feb. - Westports Malaysia
Sdn. Bhd. (Westports) akan menerbitkan
nota jangka sederhana Sukuk
Musyarakah berjumlah RM800 juta
untuk projek pembesaran pelabuhan
itu berikutan kapasitinya sudah
mencapai tahap maksimum.
Pengarah Westports, Ruben Emir
Gnanalingam berkata, projek
pembesaran itu bermula dari
terminal kontena lima (CT5)
itu membabitkan penambahan dua
kawasan berlabuh bagi meningkatkan
kapasiti kendalian kepada lapan
juta kontena standard berbanding
enam juta pada masa kini.
Menurut beliau, projek tersebut
merupakan sebahagian daripada
rancangan 15 tahun Westports
untuk membina dermaga sehingga
ke terminal kontena sembilan
(CT9) atau penambahan 2,400
meter dari terminal kontena
enam hingga CT9.
Katanya, apabila projek itu
siap kelak, Westports akan memiliki
dermaga sepanjang 5,600 meter
dengan jumlah kapasiti 12 juta
TEU (unit bersamaan 20 kaki).
''Pembesaran pelabuhan ini adalah
sebagai persediaan Westports
untuk mengendalikan volum lebih
tinggi ekoran perdagangan global
yang semakin meningkat.
''Dengan pembesaran pelabuhan
itu, Westports dapat mengendalikan
kapal-kapal lebih besar yang
boleh memuatkan 13,400 TEU yang
sudah pun mula beroperasi pada
tahun ini,'' katanya pada sidang
akhbar selepas majlis menandatangani
pelantikan OSK Holdings Bhd.
(OSK) sebagai penasihat utama
dan pengatur serta mengurus
penerbitan Sukuk Musyarakah.
Pada majlis itu, Ruben Emir
mewakili Westport dan OSK diwakili
oleh Pengarah Urusannya, Ong
Leong Huat manakala Pengerusi
Eksekutif Westports, Tan Sri
G. Gnanalingam dan Pengerusi
Eksekutif OSK, Datuk Nik Mohamed
Din Nik Yusuff menjadi saksi.
Ruben Emir berkata, daripada
jumlah sukuk yang diterbitkan
itu, Westports akan membelanjakan
sebanyak RM460 juta bagi projek
pembesaran fasa pertama yang
dijangka siap September ini.
Wesports kini mempunyai dermaga
sepanjang 2,600 meter dengan
sembilan tempat persinggahan
kapal besar.
''Untuk melengkapkan pembesaran
dermaga, Westports akan memajukan
limbungan kapal kontena dan
meningkatkan kemudahan pelabuhan,''
tambah Ruben Emir.
Pelabuhan itu telah menerima
empat kren dermaga super post-pananmax
pengangkat kembar dan sehingga
kini, terminal pelabuhan Westports
mempunyai 28 kren dermaga super
post-panamax termasuk lapan
pengangkat kembar.
Oleh Ainul Asniera Ahsan
Utusan, 22.02.2008
|