|
PELABUHAN KLANG 16 Jun - Pengendali
Pelabuhan Barat, Westports (M)
Sdn. Bhd. (Westports) dijangka
mengendalikan pemunggahan 200,000
kenderaan import di pasarkan
di pasaran tempatan pada tahun
ini, meningkat 10 kali ganda
berbanding tahun lalu.
Pengerusi Eksekutif Westports,
Tan Sri T. Gnanalingam yakin
jumlah itu mampu dicapai berikutan
pembukaan pejabat syarikat perkapalan
milik Kumpulan Toyota di pelabuhan
kontena itu sejak April lalu.
"Tahun ini Westports menyasarkan
sebanyak 200,000 kenderaan yang
dibawa masuk dari luar negara
bakal dikendalikan di pelabuhan
kontena ini.
"Tahun lalu kita hanya
mengendalikan 40,000 kenderaan
dengan caj pelabuhan sebanyak
RM70 setiap buah," ujarnya.
Beliau berkata
demikian ketika ditemui pemberita
selepas majlis perasmian syarikat
Toyofuji Logistics Malaysia
Sdn. Bhd. (TFLM) di Pelabuhan
Utara di sini hari ini.
Majlis tersebut
disempurnakan oleh Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
TFLM yang merupakan
anak syarikat Toyofuji Shipping
Co. Ltd. (TFS) dari Jepun merupakan
syarikat pengendali kenderaan
import kedua beroperasi di Pelabuhan
Utara selepas Giga (M) Sdn.
Bhd.
Ia mempunyai
dua limbungan di Pelabuhan Utara
yang mampu memuatkan sebanyak
1,660 kenderaan.
Pelabuhan Utara
adalah pejabat operasi kelapan
dibuka di luar Jepun.
TFS mula menjalankan
aktiviti membawa masuk kelengkapan
dan alat ganti kenderaan Toyota
dari Jepun ke sini sejak 1974
bagi kegunaan UMW Toyota Motor
Sdn. Bhd. dan Assembly Services
Sdn. Bhd.
Ditanya mengenai
prestasi Westports pada tahun
ini, Gnanalingam yakin syarikat
tersebut mampu mencapai kemajuan
lebih baik berbanding 2007.
Menurutnya,
Westports menyasarkan sebanyak
lima juta TEU (unit kontena
bersamaan 20 kaki) untuk dikendalikan
pada 2008.
Katanya, pada
tahun lalu, Westports mengendalikan
4.3 juta TEU.
Beliau menambah, sejak Januari
hingga Mei lalu, pihaknya berjaya
mengendalikan dua juta TEU.
Utusan, 17.06.2008
by Zabry Mohamad
|